Rabu, 3 November 2010

FUZIAH SALLEH PERLU CERMIN DIRI SENDIRI

Sandakan - Kempen PRK Batu Bapi sampai ke penghujungnya tengah malam ini. Esok para pengundi bagi kawasan Parlimen P185 Batu Sapi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih calon yang akan membawa suara mereka ke Parlimen.

Kempen bagi pilihanraya Batu Sapi ini membawa seribu satu pengalaman baru kepada jentera-jentera parti khususnya dari luar Sabah tentang 'kelainan' cara berkempen di Sabah amnya dan Batu Sapi, khususnya. Penulis terpanggil menulis tentang salah satu aspek keperluan kempen yang agak mengejutkan terutama bagi petugas-petugas parti iaitu aspek perbelanjaan kempen.

Memetik pertanyaan seorang sahabat dari Semenanjung yang menyatakan, "Kempen di sini semuanya duit". Penulis faham sangat apa yang dimaksudkan oleh sahabat tersebut. Dan untuk lebih memahami silalah baca tulisan editor Sabah Kini di sini, kisah mengenai luahan dan kekecewaan Fuziah Salleh, Pengarah Pilihanraya PKR Pusat, tentang sikap pengundi Batu Sapi yang hanya mengundi parti yang memberi mereka beberapa keping atap rumah, beras dan sedikit wang. Fuziah seolah-olah mengatakan betapa pengundi di Batu Sapi atau Sabah begitu bodoh, mata duitan dan tidak mahu keluar dari kemiskinan yang membelenggu mereka.

Pada hemat penulis pandangan Fuziah dalam hal ini amatlah cetek, dan luahan beliau itu tidak lain hanyalah sebagai salah satu cara menyalahkan pihak lain atas kegagalan diri sendiri meraih sokongan pengundi. Sekadar beberapa pertanyaan buat renungan Fuziah:

  1. Bukankah rakyat Sabahlah yang paling banyak menukar kerajaan negeri dalam Malaysia ini?
  2. Bukankah rakyat Sabah pernah memberi mandat kepada PBS yang waktu itu menjadi pembangkang, untuk mentadbir Sabah?
  3. Bukankah Anwar Ibrahim menjadi Bapa Politik Wang semasa dalam UMNO sehinggakan UMNO Sabah pada masa itu dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh Anwar?

Untuk makluman Fuziah, rakyat Sabah sebenarnya sudah hilang harap untuk mengubah kerajaan kerana walau kerajaan manapun yang memerintah nasib dan kehidupan mereka tidak banyak yang berubah. Justeru itu tidak hairanlah mereka memilih parti yang boleh memberi mereka sesuatu walau untuk lima tahun sekali.

Bagaimana rakyat Sabah mahu memilih PKR sedangkan Anwar sendiri adalah bapa segala politik wang @ rasuah pada masa lalu. Bagi majoriti rakyat Sabah, apa sahaja kenyataan Anwar untuk menghapuskan rasuah langsung tidak ada kredibiliti. Mana mungkin perasuah menghapuskan rasuah.

Sudah lupakah Fuziah bagaimana proses pemilihan Ansari Abdullah sebagai calon PKR bagi PRK Batu Sapi yang sedang berlangsung ini? Bukankah Ansari sendiri telah menemui Fuziah di Kuala Lumpur dengan menyatakan bahawa dia mempunyai jentera yang kuat serta mempunyai wang yang banyak sekiranya dipilih sebagai calon. Bukankah Fuziah salah seorang yang berkeras mahu Ansari menjadi calon atas faktor kemampuan kewangannya? Adakah perbuatan Fuziah itu adil, bersih dan berintegriti?

Masih layakkah Fuziah memperkecilkan sikap pengundi Batu Sapi yang lemah berhadapan dengan wang ringgit sedangkan Fuziah sendiri tergoda oleh perkara yang sama dalam memilih calon Batu sapi sehingga mengetepikan Thamrin, individu yang jauh lebih layak menjadi calon PKR di Batu Sapi, yang mendapat sokongan 18 Cabang di Sabah? Bukankah disebabkan Thamrin digambarkan kurang berkemampuan dari segi kewangan menyebabkan beliau diketepikan? Bukankah disebabkan wang ringgit itu jugalah Anwar si bapa perasuah itu sanggup membelakangkan semua ketua Cabang, termasuk pandangan Dr. Jeffrey sebagai Naib Presiden, rakan-rakan dalam PR iaitu PAS dan DAP Sabah?

Akibat tersalah memilih calon, kempen berbekal air liur basi, dan mungkin wang jutaan ringgit itu tidak kelihatan mengapa pengundi yang disalahkan?

Apapun, setelah sekian lama terpaksa berkorban untuk membantu mengkayakan negeri-negeri miskin di Semenanjung melalui hasil minyak, balak kelapa sawit dan sebagainya, maka kerajaan BN kini dilihat bersungguh-sungguh membantu rakyat Sabah. Curahan pembangunan dan projek yang banyak untuk Sabah tidak lain hanyalah bantuan yang terlambat tiba.

Tahniah kepada pengundi-pengundi Batu Sapi kerana tidak mudah diperbodohkan oleh agen-agen PKR yang bersikap 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'. Buat Fuziah bila balik ke Pahang belilah cermin sebesar-besarnya. Cubalah cermin diri sendiri dahulu.

Selamat mengundi.

1 ulasan:

  1. Nak cermin diri macam mana sebab dia tak pernah tengok cermin. Takut bila tengok rupa sendiri yang cakap tak serupa bikin. Kalau ada cermin pun, cermin yang lutsinar, yang tembus cahaya, yang boleh see thru... sebab tu dia tak nampak salah diri, asyik nampak salah orang saja...

    BalasPadam